Follow Me Ok

4-dalam-1: Harga petrol, diesel, gas, gula naik lagi




Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula naik mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi.

azlanPetrol RON95, dinaikkan 5 sen menjadikan RM1.90 seliter.
Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.
Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.
azlanSemua harga baru berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok. Ia didedahkan pada taklimat kepada editor di Putrajaya oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) .

Malaysiakini
turut dijemput ke taklimat itu melalui panggilan telefon tetapi wartawan kami dihalang memasuki ibupejabat Unit Kordinasi dan Pelaksanaan di Pejabat Perdana Menteri, kemudiannya tanpa sebarang alasan.

Pengumuman rasmi mengenai kenaikan harga barangan tersebut dibuat malam ini.

Kali terakhir harga barangan meningkat adalah pada 15 Julai lalu. Ia membabitkan kenaikan 5-dalam-1. Barangan yang terjejas itu adalah dua gred petrol, diesel, gula dan gas.

Dunia


Lambang syiar Islam di Pakistan


KEUNIKAN seni bina Masjid Raja Faisal menjadikannya ikon pelancongan di Islamabad.


BUKIT Margalla yang terletak di Shaharah-e-Islamabad, hujung bandar raya Islamabad, Pakistan merupakan sebahagian daripada landskap gunung-ganang yang mendasari kaki banjaran Himalaya.
Tidak hairanlah, ia sering menjadi tumpuan para pelancong yang mahu menikmati keindahan panorama dan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di sekelilingnya.
Namun, di sebalik keunikan formasi batuan bukit yang berusia kira-kira 40 juta tahun itu terletak sebuah monumen yang kini menjadi simbol kebanggaan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Dikenali sebagai Masjid Raja Faisal, idea pembinaannya bermula ketika pemerintah Arab Saudi ketika itu, Raja Faisal Abdul Aziz mengadakan lawatan ke Pakistan pada tahun 1966. Baginda tertarik dengan cadangan kerajaan negara itu membina sebuah masjid baru berstatus negara.
Tiga tahun kemudian, satu pertandingan telah diadakan untuk memilih arkitek yang bertanggungjawab mereka bentuk masjid berkenaan. Ternyata, sambutannya yang diterima amat menggalakkan. Jawatankuasa pertandingan telah menerima sebanyak 43 kertas cadangan membabitkan ramai arkitek terkemuka dari 17 buah negara.
Arkitek Turki, Vedat Dalokay dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan itu. Pembinaannya dimulakan pada 1976 membabitkan kos kira-kira AS$120 juta (RM376 juta) hasil sumbangan kerajaan Arab Saudi.
Ia siap kira-kira 10 tahun kemudian dan dinamakan sempena nama Raja Faisal sebagai menghargai sumbangan dan jasa baginda terhadap pembinaan majid itu.
Sebaik siap, ia diiktiraf sebagai masjid terbesar di Pakistan dan antara yang terbesar di dunia. Pada masa yang sama, ia juga menjadi simbol sebuah negara Islam sejak kemerdekaan republik itu pada 1956 di samping menjadi sebuah mercu tanda baru di Islamabad.
Masjid itu sengaja dibina di kawasan tinggi bagi memudahkan ia dilihat dari jarak beberapa kilometer tidak kira pada waktu siang atau malam. Kehijauan banjaran gunung-ganang di sekitarnya mampu membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum dan terpesona melihatnya.

PANORAMA hijau banjaran gunung di sekitar masjid ini amat memukau pandangan.


Keunikan masjid itu terletak kepada gabungan elemen moden dan prinsip seni bina Islam sebagai asas pembinaannya. Ia dibina tanpa kubah dan simbol gerbang yang lazim dilihat pada masjid-masjid di seluruh dunia.
Masjid itu dibentuk melalui lapan struktur konkrit yang diinspirasikan daripada bentuk khemah masyarakat Badwi dan kubik Kaabah serta diapit empat tiang menara berunsurkan seni bina Turki di penjurunya.
Seperti konsep sebuah khemah, berat keseluruhan ruang utama yang berbentuk segi tiga di bahagian tengah disokong oleh tiang-tiang menara. Setiap satu tiang ini mempunyai ketinggian 80 meter dan diiktiraf sebagai menara masjid yang tertinggi di Asia.
Ruang utama yang merupakan ruang solat diterangi lampu candelier gergasi yang diimport khas dari Turki. Tatkala melangkah ke bahagian dalam, mata seakan-akan terpaku melihat pelbagai jenis batu marmar dan mozek menghiasi bahagian dindingnya.
Para pelawat yang singgah ke masjid ini juga berpeluang melawat makam bekas Presiden Pakistan, Jeneral Zia-ul-Haq yang terletak berdekatan.

Ekpresi

'Bilik mesyuarat' dalam gelap





HUJAN lebat di sebelah petang menyebabkan suasana malam di sekitar Kampung Gunung Mesah Hulu di daerah Gopeng itu agak lebih dingin daripada biasa.
Kebanyakan rumah di perkampungan yang dikelilingi banjaran batu kapur yang menghiasi landskap Perak itu mulai gelap, kemungkinan besar penghuni di dalamnya sedang lena diulit mimpi.
Namun, suasana di sekitar tapak kem Kandu Eco Adventure di sini agak berbeza. Ia masih terang-benderang. Di satu sudut, seorang lelaki yang lengkap dengan peralatan topi keselamatan dan lampu suluh di kepala tekun memberikan taklimat di hadapan sekumpulan pengembara gua.
“Keadaan gua ini agak gelap serta dipenuhi laluan sempit dan batu-batu tajam. Saya harap kamu semua sentiasa berwaspada sepanjang penerokaan ini nanti,” pesan Abdul Rahim Mohd. Nasir, 37.
Selaku fasilitator dan renjer di kem itu sejak lebih setahun yang lalu, dia bertanggungjawab memastikan keselamatan pengembara yang mahu meneroka keindahan di Gua Kandu.
Penulis bersama jurugambar, Mohd. Aminullah Farij Hasan yang turut sama menyertai penerokaan di gua batu kapur yang berusia lebih 400 juta tahun itu rasa teruja. Maklumlah, ia merupakan pengalaman pertama kami meneroka jauh ke dalam gua.

BEREHAT seketika di pertengahan laluan untuk memulihkan stamina.



Lebih-lebih lagi apabila diberitahu bahawa pengembaraan kali ini lebih mencabar kerana dilakukan pada waktu malam selain laluan trek ke kawasan gua yang basah dan licin.
Tepat jam 10.30 malam, kumpulan kami seramai tujuh orang memulakan perjalanan ke pintu gua yang mengambil masa 10 minit perjalanan.
Biarpun memerlukan sedikit pendakian, ia tidaklah terlalu mencabar kerana kami bergerak mengikut rentangan tali-tali keselamatan yang sedia dipasang sepanjang laluan.
Abdul Rahim sempat bercerita tentang sejarah nama gua itu yang diambil sempena nama seorang budak bernama Kandu yang hilang di dalam gua itu satu ketika dahulu.
Tambahnya, ketika zaman pemerintahan Jepun, gua itu pernah dijadikan pejabat operasi dan pentadbiran tentera mereka.
“Malah tentera Jepun juga bercita-cita mahu menjadikan kawasan gua ini sebagai landasan dan tempat menyimpan kapal terbangnya. Namun, hasrat itu tidak menjadi kenyataan selepas perang tamat pada tahun 1945.
“Selepas itu, ia dijadikan tempat pentadbiran dan persembunyian komunis termasuk beberapa pemimpin utama mereka seperti Chin Peng dan Rashid Maiden,” jelasnya.
Suasana hening
Suasana gua yang gelap dan hening saat kami melepasi pintunya membuatkan kami terasa sedikit gerun. Formasi semula jadi di dalam gua yang masih tidak terusik itu jauh berbeza daripada Gua Tempurung yang turut popular dengan aktiviti sedemikian tidak jauh dari situ.
Tanpa sebarang kemudahan asas, limpahan cahaya lampu dan trek pejalan kaki, pengalaman eksplorasi Gua Kandu lebih ekstrem dan tentunya diinginkan mereka yang dahagakan cabaran.
Setiap langkah yang diatur kelihatan agak sukar kerana hanya berpandukan cahaya lampu suluh di kepala.
Langkah kami terhenti sebaik sahaja melihat lambang bintang lima yang tertera di dinding gua. Serta-merta terbayang dalam fikiran akan keganasan Komunis yang pernah menghuru-harakan negara ini satu ketika dahulu.
Kami kemudiannya tiba di satu ruang luas dikenali sebagai ‘bilik mesyuarat’. Pelik tapi menarik, penerokaan di Gua Kandu itu sebenarnya seumpama berpusing dalam sebuah laluan bulatan besar.
“La.. jumpa balik tempat tadi rupanya, ingatkan dah dekat mana tadi,” seloroh si jurufoto, Aminullah.
Keinginan untuk menyaksikan lebih banyak misteri dan keindahan formasi batu-batuannya membawa kami meneroka lebih jauh ke dalam gua.
Semakin jauh rongga gua diteroka, semakin kering dan panas udara di dalamnya hingga membuatkan baju kami mula dibasahi peluh.

ABDUL RAHIM menunjukkan bongkah batuan terbesar yang terdapat di dalam Gua Kandu.


Tidak dinafikan, kesukaran perjalanan semakin dirasai. Ada di antara laluan itu memerlukan kami mendaki dan menuruni cerun gelap setinggi 50 hingga 80 kaki. Tidak kurang juga ada yang memerlukan kami merangkak untuk tiba ke lokasi seterusnya.
Bagaimanapun, kepayahan yang dilalui nyata berbaloi. Apatah lagi apabila berpeluang melihat sendiri proses geomorfologi yang membentuk tekstur permukaan dinding dan bumbung gua sejak jutaan tahun lalu seperti dinding langsir serta batu berombak-ombak.
Ia boleh diumpamakan seperti berada di dalam sebuah dunia yang asing. Melihat keindahan stalagtit dan stalagmit yang bercantum lalu membentuk pelbagai bentuk arca di segenap penjuru gua itu, nyata mempesonakan.
Tidak hairanlah, gua ini sering menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu menyaksikan sendiri keunikannya. Sekali imbas, ada di antaranya yang menyerupai bentuk telur gergasi, obor-obor, ekor ikan, gajah, wanita yang sedang berdoa dan kepala singa.
“Arca-arca ini terhasil secara semula jadi dengan melibatkan elemen angin, kelembapan dan cahaya - tiada tangan manusia mampu menciptanya!
“Ada di antaranya telah berusia ribuan tahun dan cuba bayangkan, untuk menjadikan satu sentimeter bentuk aliran tersebut memerlukan masa selama lima tahun,” jelasnya.
Dalam keasyikan menghayati keindahan ciptaan Ilahi, tanpa disedari sudah dua jam berlalu. Kami akhirnya tiba di pintu keluar gua di kedudukan yang berbeza.
Cabaran seterusnya adalah menuruni puncak bukit menuju ke tapak kem. Trek basah dan licin menyebabkan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 30 minit dirasakan begitu panjang.
Bagaimanapun kepenatan yang dilalui hilang sebaik sahaja melihat disambut Pengarah Kandu Eco Adventure, Marzuki Ahmad.
“Macam mana pengembaraan tadi, lain kali boleh masuk gua sekali lagi. Selepas ini, kita boleh masuk sehingga ke Gua Intan pula, trek di sana lebih mencabar,” kata lelaki berusia 47 tahun itu.
Sambil menikmati secawan kopi O panas, lelaki itu memberitahu Gua Kandu yang mula dikenali sekitar tahun 70-an semakin popular dalam agenda pelancongan Perak.
Sesak hujung minggu
Disebabkan itu, katanya tidak hairanlah saban minggu kawasan itu penuh sesak dengan individu, pelajar kolej dan universiti serta pelancong asing yang mahu menikmati suasana di dalamnya.
“Ia ibarat satu pakej lengkap, selain meneroka gua, mereka juga dapat menghayati suasana kampung serta keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan ini,” ujarnya.

MELALUI trek basah dan licin sebelum tiba di pintu gua.



Katanya, selain meneroka di kawasan gua, pengunjung juga kini mempunyai pilihan untuk bermalam di kem berkenaan.
“Asrama yang disediakan mampu memuatkan kira-kira 60 penghuni lelaki dan wanita, lengkap dengan kemudahan tandas, dewan makan dan dewan serba guna. Mereka juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti berakit, memancing ikandan flying fox,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang peserta, Alus Mat Din, 42, biarpun pernah beberapa kali memasuki gua itu sebelumnya dia tidak pernah puas menyaksikan kepelbagaian formasi batuan yang terdapat di dalamnya.
“Pengalaman meneroka di waktu malam lebih mencabar kerana kesukaran bermula sebelum memasuki pintu gua sehinggalah keluar darinya.
“Bagaimanapun, saya berasa sedikit kecewa melihat sikap segelintir pengunjung yang sanggup merosakkan arca-arca dan batuan di dalamnya. Apa pun ia tetap menjanjikan pengalaman berharga,” ujarnya.